Mengapa ada ulamak tidak takutkan Tuhan?




Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya: "Yang paling takut kepadaKu di kalangan hamba-hambaKu ialah ulamak." Al-Fathir:28 Ayat ini jelas menunjukkan yang paling takut kepada Allah adalah ulamak. Ilmu yang ada pada ulamak itu melayakkan mereka untuk jadi orang yang takutkan Allah. Tapi realiti yang berlaku ulamak yang ada pada hari ini sudah tidak takutkan Allah, malah ramai di antara mereka sewenang-wenangnya mengabaikan perintah Allah. Apa sudah berlaku? Apa yang tidak kena sehingga realiti itu bertentangan dengan kehendak ayat ini? Mari kita pekatakannya.


1) Ulamak menjadi orang yang tidak takutkan Allah disebabkan ilmu mereka tidak cukup. Ilmu tidak global. Ilmu mereka hanya pada satu-satu bidang sahaja dan tidak menyeluruh. Kebanyakan bertumpu pada ilmu fekah. Mereka menguasai ilmu fekah sehingga boleh berhukum dan memberi fatwa. Tetapi mereka tidak pula berminat pada tasawuf. Ada juga yang mengambil usuluddin hingga mahir, boleh berpidato dan berbahas tentangnya. Tapi tidak pula mendalami fekah dan tasawuf. Sedangkan untuk takutkan Allah, ilmunya kena diambil secara pakej. Tidak boleh bertumpu pada satu-satu ilmu sahaja. Kenalah dipelajari, difahami dan dihayati ketiga-tiga bidang ilmu iaitu tauhid, fekah dan tasauf. Bila dikatakan ulamak tidak boleh disebut ulamak tauhid atau ulamak fekah atau ulamak sufi. Sebut sahaja ulamak bermaksud, ilmu mereka mencakupi ketiga-tiga bidang tersebut. Ini yang patut difahami.

2) Ulamak tidak takutkan Tuhan kerana mereka mengambil ilmu sebagai pengajian sahaja dan melupakan pendidikannya. Sedangkan pada ilmu itu ada pengajian dan ada pendidikan. Ilmu itu pengajiannya adalah dengan belajar atau berguru sedangkan pendidikan itu adalah perlaksanaan ilmu. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh di”apply” dengan berkesan. Daripada perlaksanaan ilmu barulah ilmu itu boleh dihayati dan dijiwai. Perlaksanaan ilmu itu pula kenalah ada murysid yang “monitor”, jika tidak perlaksanaan ilmu tidak akan berjaya. Ulamak tidak boleh berdiri dengan sendirinya, kecuali dia adalah mursyid. Ulamak kena bersandar pada mursyid kerana di situ dia akan menempuh proses pendidikan.

3) Ulamak juga tidak menjadi atas faktor niat menuntut ilmu sudah tersasar. Awal niat itu menentukan kejayaan ulamak bersama Tuhannya. Jika awal niat belajar atau menuntut itu kerana Tuhan, maka natijahnya adalah baik dan sampai kepada Tuhan. Tetapi jika niat itu bukan kerana Tuhan, ada terselit kepentingan peribadi dan dunia, maka natijahnya ulamak itu rosak hubungan dengan Tuhan. Dia tidak dapat menjadi orang yang takutkan Tuhan kerana ilmu yang ada padanya tidak dapat membentuk dirinya. Ini disebabkan roh ilmu itu sudah dirosakkan oleh niatnya yang tersasar tadi. Ilmu yang tanpa roh tidak akan memberi kesan pada jiwa. Tidak memberi kekuatan pada dalam diri. Ia sekadar ilmu biasa yang bertapak di akal, bukan di hati.

4) Faktor guru memainkan peranan penting dalam menuntut ilmu. Walaupun sudah menuntut ilmu dan seseorang itu boleh “claim” dirinya ulamak tetapi harus dilihat siapakah gurunya. Apakah dengan mendapat ijazah dalam pengajian Islam itu sudah boleh ditabalkan sebagai ulamak? Sedangkan entah siapa-siapa gurunya yang sudah tentu boleh dipersoalkan pula entah daripada mana ilmu guru itu.

"Hakikatnya, hanya ulamak yang melahirkan ulamak. Sebab itu ulamak yang tak menjadi ini, boleh dikatakan kesilapan besar mereka adalah dalam memilih guru. Mereka sangka guru mereka ada di universiti sahaja. Mereka sangka belajar secara formal dengan guru tersebut boleh melayakkan diri mereka menjadi ulamak. Sedangkan mereka tak teliti dan berhati-hati dalam memilih guru yang benar-benar ulamak dalam mengajar dan mendidik mereka. Guru yang sepatutnya membawa mereka cintakan Tuhan, bukan sekadar cintakan ilmu."

Comments

Popular posts from this blog

sudah tidak ditakuti...